KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini
memberi tempoh seminggu kepada Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk
Dr Awang Adek Hussin untuk membuat penjelasan mengenai sebuah syarikat
yang memasukkan cek bernilai RM80,000 ke akaun beliau.
Cek tersebut didakwa sebagai rasuah bagi melanjutkan kontrak sebuah Syarikat Bumiputera dalam Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB).
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, sekiranya Awang
Adek tidak memberikan sebarang respon berhubung tuduhan tersebut,
pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan.
"Kita beri Dr Awang Adek seminggu untuk menafikan dokumen yang kita perolehi ini sebagai palsu atau tidak benar.
"Jika
tidak kita akan mempertimbangkan untuk tindakan selanjutnya dan bawa
perkara ini kepada SPRM untuk siasat," katanya pada sidang media di Ibu
Pejabat PAS, Jalan Raja Laut hari ini.
Cek CIMB Bank yang
bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu itu dimasukkan ke dalam akaun
Awang Adek ketika beliau menjadi Pengerusi SJJB pada tahun 2010.
Pertengahan
Julai lalu, DPPP mendakwa Awang Adek pernah menerima dua cek bernilai
RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan
di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance
Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).
DPPP mendakwa
cek tersebut diberi sebagai dorongan bagi melanjutkan kontrak
penyelenggaraan kedua-dua bangunan daripada lima tahun bagi Bangunan
Sultan Iskandar dan JB Sentral daripada 3 tahun 5 bulan kepada 10 tahun.
Mengulas
lanjut, Khairul Faizi yang juga Ketua Pemuda PAS Johor mendakwa
pihaknya memiliki dokumen serta surat permohonan lanjutan kontrak
penyelenggaraan syarikat AMPM yang dihantar kepada Awang Adek.
"Surat
permohonan lanjutan kontrak itu dihantar pada 6 Disember 2010 dan
tarikh cek dikeluarkan juga pada tarikh yang sama. Selepas itu kita
dapat maklumat satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB diadakan pada
25 Ogos 2011, keputusannya mesyuarat bersetuju untuk melanjutkan kontrak
kedua-dua bangunan kepada 10 tahun pada syarikat yang sama.
"Pemuda
PAS ingin tahu adakah cek ini sebagai dorongan untuk memudahkan mereka
(AMPM) mendapat perlanjutan kontrak? Sebab itu kita minta Dr Awang Adek
tampil menjawab atau menafikan dakwaan itu sekiranya ia tidak benar,"
katanya.
Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan DPPP, Nik
Abduh Nik Aziz, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman
Mohamad dan Exconya Nurul Islam.
Sumber: Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan